Anwar mahu saman individu sebar fitnah isu kasino

Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tidak pernah pun menyebutkan kepada saya minat untuk adakan perjudian di sana.

“Jadi (datang) dari mana? Dari penjahat-penjahat semua inilah. Mereka ini yang sepatutnya ganti bilik-bilik saya di (penjara) Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Anwar berkata walaupun pihak-pihak dalam kerajaan terbuka menerima kritikan, namun beliau mengingatkan individu-individu berkenaan agar tidak mengkritik institusi raja-raja.

“Kamu singgung raja-raja, dan raja-raja itu institusi negara yang kita sanjung dan muliakan, serta ini ada dalam Perlembagaan. Kita ada sistem raja, tidak bolehlah dijadikan macam orang politik, serang sesuka hati dan ini memang tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan ada individu-individu yang sengaja membuat tohmahan dan mencipta fitnah berhubung isu kasino.

Sebelum ini sebuah portal berita antarabangsa memetik sumber sebagai mendakwa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City, dan Anwar didakwa telah bertemu dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk berbincang mengenainya.

Laporan itu turut mendakwa wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain turut hadir pada mesyuarat itu, dan perbincangan mengenainya masih di peringkat awal.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan