Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Lima anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak seorang perempuan warga China, membabitkan wang tunai berjumlah RM140,000 di sebuah pangsapuri bulan lalu.
Semua tertuduh iaitu Koperal Khairil Annuar Sulaiman, 39, Koperal Mohd Zaidi Jamaludin, 35, Koperal Mohd Adrafil Adlan Roslan, 28, Koperal Ahmad Rohafiz Abdul Rani, 39, dan ASP Mohd Faizol Ismail, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan memohon dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas wang tunai berjumlah RM140,000 milik Zhang Chenxuan di sebuah apartment di Jalan Tun Razak, Wangsa Maju di sini pada jam 5.30 petang, 6 April lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM20,000 terhadap semua tertuduh dengan dua penjamin dan memohon mereka dikenakan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai.
Peguam bela Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Khairil Annuar, Mohd Zaidi, Ahmad Rohafiz dan Mohd Faizol bagaimanapun memohon jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan mereka menanggung keluarga.
Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohd Adrafil Adlan turut memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya yang masih bujang, menjaga ibu bapanya.
Katanya, anak guam dan tertuduh lain yang masih bertugas hadir sendiri ke mahkamah, yang menunjukkan sikap mereka yang bertanggungjawab, selain tidak cuba melarikan diri.
Hakim Hamidah Mohamed Deril kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan