Bekas pemain import Liga M antara ditahan dalam Op Kutip

Raja Noraina Raja Rahim
bhnews@bh.com.my
Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam operasi di belakang sebuah premis cuci kenderaan yang dijadikan lokasi bersosial dan berhibur di Puchong, malam tadi. - Foto NSTP/Raja Noraina Raja Rahim
Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam operasi di belakang sebuah premis cuci kenderaan yang dijadikan lokasi bersosial dan berhibur di Puchong, malam tadi. - Foto NSTP/Raja Noraina Raja Rahim
KUALA LUMPUR: Bekas pemain import Liga Malaysia antara yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam serbuan di Jalan Puchong Mesra, Puchong di sini, malam tadi.

Lelaki warga Nigeria berusia 34 tahun yang sudah tidak mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan bola sepak itu antara 22 orang 'awang hitam' yang dicekup menerusi Op Kutip.

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam, sepasukan anggota menyerbu belakang sebuah premis cuci kenderaan yang dipercayai menjadi lokasi warga asing itu berkumpul, bersosial dan berhibur sambil menghisap shisha serta mengambil minuman keras secara terbuka.

Ketika serbuan, ada antara mereka yang sanggup membahayakan diri dengan terjun ke longkang sedalam kira-kira tiga meter bagi mengelak dicekup pihak berkuasa, selain bertindak agresif dan membuat provokasi serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata operasi dijalankan susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama sebulan.

Beliau berkata, operasi membabitkan kekuatan 109 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur bersama anggota agensi lain itu berjaya menahan 22 warga asing termasuk dua kanak-kanak.

"Mereka yang ditahan masing-masing tujuh warga Sierra Leone dan Nigeria, masing-masing tiga warga Ghana dan Amerika Syarikat, serta dua warga Liberia.

"Ketika serbuan, ada anggota kita mengalami kecederaan, begitu juga ada warga asing yang cedera ketika melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang.

"Kita sedia maklum, warga Afrika ini memang agresif dan mereka tidak memberikan kerjasama kepada anggota semasa pemeriksaan dijalankan," katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi itu.

Jafri berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Jabatan Imigresen turut mengenal pasti lokasi berkenaan sebagai antara kawasan penempatan warga asing sehingga menimbulkan keresahan serta mengganggu ketenteraman penduduk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan