Datuk cabul cucu kena penjara 10 tahun, 6 sebatan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TERTUDUH dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana mencabul cucu saudara di Segamat. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana mencabul cucu saudara di Segamat. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Kenapa kamu buat macam ini (cabul)? Kamu tak sayang mangsa ke? Perbuatan ini tak elok dan membusukkan nama kamu sendiri."

Itu teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan terhadap pekerja ladang selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap cucu saudara tahun lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh berusia 42 tahun yang berhadapan dua pertuduhan sebelum itu mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca kali kedua oleh jurubahasa, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 16 tahun di rumah neneknya dalam Segamat pada jam 1 pagi, Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perkara sama terhadap mangsa ketika mengajar remaja itu menunggang motosikal di Bekok, Segamat pada 8 malam, 7 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Berdasarkan fakta kes, kejadian pertama berlaku ketika mangsa sedang tidur di rumah neneknya namun dia tidak menceritakan kepada ibunya.

Kejadian pula kedua berlaku di atas motosikal malah tertuduh turut berjanji mahu menghadiahkan telefon bimbit kepada mangsa sekiranya memenuhi permintaannya untuk melakukan hubungan seks namun kanak-kanak itu menolaknya.

Selepas kejadian kedua berlaku, mangsa pulang ke rumah sambil menangis. Mangsa memberitahu ibunya dia tidak suka pada tertuduh sebelum ibunya bertanyakan perkara sebenar.

Susulan pendedahan mangsa, laporan polis dibuat di Bekok, Segamat pada 24 April lalu dengan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan untuk setiap pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan Seksyen 16, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan untuk setiap pertuduhan. Kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, 24 April lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan