Dipaksa layan nafsu 35 lelaki sehari

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Guna taktik tawar kerja kosong sebagai operator kilang dan pembantu rumah di negara ini dengan gaji lumayan.

Mangsa yang berjaya dibawa masuk ke negara ini sebaliknya dikurung dan dipaksa bekerja sebagai pelacur.

Itu antara kegiatan lapan ahli Geng Bala yang berjaya diberkas polis menerusi lima serbuan dijalankan di bandar raya ini dan Kulai antara 21 April hingga 1 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyelamatkan 13 wanita warga asing berusia 22 hingga 49 tahun yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit aktif melakukan aktiviti persundalan itu sejak November tahun lalu.

Katanya, sindiket menggunakan modus operandi (MO) dengan memperdaya mangsa kononnya menawarkan kerja sebagai operator kilang dan pembantu rumah menerusi ejen.

"Mangsa kemudiannya diuruskan ejen pekerjaan termasuk tiket penerbangan dan pas lawatan untuk memasuki negara ini.

"Apabila tiba di negara ini menerusi pintu masuk antarabangsa, mangsa akan diajar memasuki negara ini untuk tujuan melancong dan diberikan wang 'show money' sebelum dibawa ke rumah transit," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, tadi.

Kumar berkata, sekiranya kemasukan mangsa ditolak pihak berkuasa di pintu sempadan, mereka akan dibawa ke negara jiran dan dibawa masuk ke negara ini menerusi jalan tidak diwartakan.

Beliau berkata, ketika mangsa berada di rumah transit, pasport serta telefon bimbit akan dirampas ahli sindiket sebelum mangsa dimaklumkan bahawa tiada lagi pekerjaan sebagai pekerja kilang mahu pun pembantu rumah.

Menurutnya, mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pelacur dan sekiranya mangsa enggan, mereka dikehendaki membayar ganti sebanyak RM11,000 sebagai kos perbelanjaan ke negara ini.

"Mangsa terpaksa menjadi pelacur dan hasil siasatan mendapati mereka terpaksa melayan sehingga 35 pelanggan sehari dengan bayaran antara RM100 hingga RM200 manakala untuk semalaman sebanyak RM300," katanya.

Kumar berkata, lapan ahli sindiket yang diberkas itu terdiri daripada empat warga tempatan termasuk ketua sindiket dan empat warga asing.

Beliau berkata, polis turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, 41 keping kondom, 24 buah pasport negara asing, wang tunai RM8,730, buku catatan aktiviti pelacuran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan sementara manakala kesemua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan