Dua tragedi gempar Sungai Kelantan

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua lelaki dikhuatiri lemas dalam dua kejadian berasingan di Sungai Kelantan di sini, tadi.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 9.45 pagi membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang bertindak terjun ke sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.46 pagi semalam sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim serta Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.

"Menurut saksi, mangsa meninggalkan motosikalnya di atas jambatan sebelum terjun ke sungai.

"Mangsa dilihat terkapai-kapai dalam sungai sebelum hilang. Setakat ini pencarian dilakukan sekitar permukaan sungai iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa jatuh," katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Kampung Kutan Sungai, Tumpat di sini, seorang lelaki dikatakan terjatuh dari bot ketika ingin meletakkan bubu.

Zainal berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 10.15 pagi tadi.

"Seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Wakaf Bharu serta Pengkalan Kubor digerakkan ke lokasi.

"Maklumat awal memaklumkan mangsa yang juga pemilik bot terjatuh dari botnya ketika ingin meletakkan bubu di sungai.

"Jika kedua-dua mangsa tidak dijumpai dalam tempoh 24 jam, kita akan menggunakan khidmat anjing pengesan (K9)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan