BERNAMA
EMPAT orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berlanggar dengan kereta api di daerah Pasuruan, Jawa Timur. FOTO Polis Indonesia
Jakarta: Empat orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berlanggar dengan kereta api di daerah Pasuruan, Jawa Timur pada Selasa, kata pihak polis.
Ketua Timbalan Polis Pasuruan, Andria Diana Putra dalam kenyataannya pada Rabu, memaklumkan bahawa tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi di hospital. Tiga individu yang cedera kini menerima rawatan di Pusat Kesihatan Rejoso.
Beliau berkata insiden itu berlaku apabila pemandu MPV gagal berhenti di persimpangan kereta api di Kampung Patuguran, di mukim Rejoso sekitar 8.45 pagi waktu tempatan pada Selasa.
"Walaupun persimpangan kereta api itu mempunyai palang, ia masih belum diaktifkan lagi," tambah Andria.
PT Kereta Api Indonesia dalam kenyataan berasingan, memberi jaminan bahawa semua penumpang dan kru yang berada di dalam kereta api laluan Jember ke Purwokerto berada dalam keadaan selamat.
Antara Januari 2023 hingga Mac tahun ini, pengendali kereta api melaporkan 414 kemalangan berlaku di lintasan kereta api, mengakibatkan kerosakan pada kemudahan rel, 124 kematian, 87 kecederaan serius dan 110 kecederaan ringan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan