Hampir 5 juta rakyat Malaysia sakit mental dan NCD

Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan seramai sejuta atau bersamaan 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan.

Menerusi hasil tinjauan dilakukan, jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalaminya.

Tinjauan juga menunjukkan hampir separuh daripada jumlah itu berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak pula menyaksikan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.

Statistik menunjukkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami masalah berkenaan.

NHMS 2023 turut mendedahkan 46 peratus kanak-kanak terbabit mengalami masalah dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku (25 peratus), masalah emosi (17 peratus) dan hiperaktif (8 peratus).

Mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD), NHMS 2023 menunjukkan hampir 3.6 juta penduduk negara ini atau bersamaan 15.6 peratus menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi (6.7 juta) dan kolesterol tinggi (7.5 juta).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka yang menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang tidak didianogsis tergolong dalam golongan yang berusia lebih muda.

"Penemuan itu amat membimbangkan kerana penyakit tidak berjangkit yang tidak didianogsis boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih cepat kepada golongan berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran NHMS 2023 di sini, tadi.

Selain itu, lebih 500,000 dewasa atau merangkumi 2.5 peratus dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

Malah, terdapat peningkatan berterusan dalam trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa, melonjak hampir 10 peratus dalam tempoh satu dekad, daripada 44.5 peratus pada 2011 kepada 54.4 peratus pada 2023.

Mengenai penggunaan jagaan pesakit luar, dapatan tinjauan NHMS 2023 menunjukkan trend peningkatan daripada 8.1 peratus pada 2019 kepada 12.5 peratus pada tahun lalu.

Bagaimanapun, trend penggunaan perkhidmatan jagaan pesakit luar di fasiliti kerajaan merekodkan penurunan daripada 64.2 peratus pada 2019 kepada 48.9 peratus pada 2023.

Ini menunjukkan peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan jagaan pesakit luar swasta dalam kalangan penduduk Malaysia berbanding empat tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan