Ismail Haniyeh: Hamas kekal di Gaza selepas perang tamat

AFP

Doha: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata, pergerakan itu akan terbabit dalam memutuskan pemerintahan pascaperang di Gaza bersama-sama kumpulan Palestin yang lain.

"Kami mengatakan bahawa pergerakan Hamas berada di sini untuk kekal dan ia akan menjadi pergerakan dan semua kumpulan (Palestin) yang akan memutuskan pemerintahan pascaperang di Gaza," kata Ismail dalam ucapan di televisyen, semalam.

Beliau juga berkata, nasib rundingan gencatan senjata tidak pasti kerana desakan Israel untuk menduduki lintasan Rafah dan perluasan pencerobohan di wilayah Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Ucapan Ismail menandakan ulang tahun ke-76 Nakba, iaitu peristiwa kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa penciptaan negara Israel pada 1948.

Ismail mengulangi pendirian pergerakan itu berhubung rundingan gencatan senjata yang sekali lagi menemui jalan buntu.

"Sebarang perjanjian mesti memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh (pasukan Israel) dari semua sektor di Semenanjung Gaza, perjanjian sebenar untuk pertukaran tahanan, kepulangan orang yang dipindahkan, pembinaan semula dan menarik balik kepungan Gaza," katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, sebarang perbincangan mengenai siapa yang memerintah Gaza selepas perang hanyalah cakap kosong, selagi Hamas kekal di wilayah itu.

"Sehingga jelas Hamas tidak mengawal Gaza secara ketenteraan, tiada entiti akan sanggup mengambil pengurusan awam Gaza kerana bimbang akan kesejahteraannya.

"Syarat pertama untuk menyediakan tanah untuk entiti lain adalah untuk memusnahkan Hamas, dan berbuat demikian tanpa membuat alasan," kata Netanyahu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant kelihatan mencabar Netanyahu, dengan mengatakan bahawa, ia mestilah entiti Palestin yang memerintah Gaza selepas Hamas dikalahkan.

"Saya menyeru Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa Israel tidak akan mewujudkan kawalan awam ke atas Gaza," kata Gallant sambil menyeru alternatif pemerintahan kepada Hamas dengan segera.

Gallant berkata, tindakan ketenteraan Israel di Gaza perlu disusuli dengan tindakan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan