AGENSI
KAHERAH: Pertempuran antara tentera Israel dengan pejuang Hamas di lorong sempit Jabalia di utara Gaza menjadikan ia antara pertempuran paling sengit sejak rejim Zionis kembali ke kawasan itu seminggu lalu.
Bukan hanya di utara Gaza, pejuang Palestin juga dilaporkan bertempur dengan tentera Israel di Rafah, selatan Gaza, juga dalam beberapa pertempuran sengit.
Hamas yakin rakyat Palestin akan terus berdepan pencerobohan darat termasuk di Rafah dan tempat lain tidak kira berapa lama pencerobohan itu berlarutan dan tanpa mengira bentuknya.
Pegawai Israel menyifatkan pertempuran di Jabalia antara perang paling sengit setakat ini, kerana pejuang Palestin mengekalkan kadar serangan harian tertinggi mereka, menurut pemantau.
Institut Kajian Perang (ISW) dan Projek Ancaman Kritikal (CTP) berkata komander Israel memberitahu media tempatan bahawa Jabalia adalah lokasi konfrontasi "paling ganas" kerana pejuang Palestin menggunakan kelebihan relatif lorong sempit kem pelarian untuk melancarkan serangan dengan bom tangan roket dan alat letupan.
Semalam, pejuang Palestin melancarkan 22 serangan ke atas tentera Israel di Jabalia dan Hamas berkata serangan mereka memaksa musuh menukar laluan bekalan "berkali-kali" di kawasan Jabalia, kata badan pemikir pertahanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Tentera Israel juga meneruskan operasi di timur bandar Rafah semalam, manakala pejuang Palestin di bandar itu menggunakan roket dan mortar untuk menyerang "kedudukan komando Israel", kata pemantau perang.
Media turut melaporkan Komander Briged Jenin, Islam Khamaysa terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan peluru berpandu Israel di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut penduduk, kenderaan perisai Israel memasuki sehingga ke pasar di tengah Jabalia, kem pelarian kelapan terbesar di Gaza dan jentolak merobohkan rumah dan kedai di sepanjang jalan dimasuki tentera Zionis.
"Kereta kebal dan pesawat perang memusnahkan kawasan kediaman, pasar, kedai, restoran. Semuanya berlaku di depan dunia yang buta," kata Ayman Rajab, seorang penduduk di barat Jabalia, melalui aplikasi sembang.
Israel berkata tenteranya membersihkan Jabalia beberapa bulan sebelum itu dan kembali ke kawasan berkenaan bagi menghalang pejuang Islam berkumpul semula.
Di selatan Gaza yang bersempadan dengan Mesir, kepulan asap tebal dilihat di Rafah, di mana serangan Israel semakin meningkat menyebabkan ratusan ribu orang melarikan diri daripada beberapa tempat perlindungan yang masih ada.
"Orang ramai ketakutan dan mereka cuba melarikan diri," kata Jens Laerke, jurucakap pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Geneva, sambil menambah kebanyakannya mengikuti arahan untuk bergerak ke arah utara pantai tetapi tiada laluan atau destinasi selamat.
Ketika pertempuran memuncak, tentera Amerika Syarikat (AS) berkata trak mula mengalihkan bantuan ke darat dari jeti sementara, yang pertama sampai ke kawasan dikepung melalui laut.
Program Makanan Sedunia yang menjangkakan makanan, air dan bekalan perubatan tiba melalui laluan air itu, berkata bantuan sudah dibawa ke gudang agensi itu di Deir Al Balah di tengah Gaza dan memaklumkan ia sudah sedia untuk diedarkan.
PBB sebelum ini mengulangi bahawa konvoi trak melalui darat yang terganggu bulan ini disebabkan serangan ke atas Rafah adalah cara paling berkesan untuk mendapatkan bantuan.
"Untuk mengelakkan kebuluran semakin meruncing, kita mesti menggunakan laluan terpantas dan paling jelas untuk sampai ke penduduk Gaza dan disebabkan itu kita memerlukan akses melalui darat sekarang," kata timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq.
Bantuan AS tiba di Cyprus untuk penghantaran ke Gaza melalui jeti baharu, kata Washington.
Hamas menuntut penamatan kepungan Israel dan mendakwa Washington bersubahat dengan dasar Israel "kebuluran dan sekatan."
Rumah Putih berkata, penasihat keselamatan negara AS, Jake Sullivan akan melawat Israel esok dan menekankan keperluan serangan yang disasarkan terhadap Hamas dan bukannya serangan besar-besaran ke atas Rafah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan