Isteri minta cerai selepas suami terlupa beli makanan ringan

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan sebuah kedai runcit di New Delhi. - Foto AFP
NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh meminta cerai daripada suaminya selepas tidak membelikannya paket Kurkure berharga 5 rupee (RM0.28 sen), lapor laman berita Wion News hari ini.

Kurkure ialah jenama sejenis makanan ringan pedas popular di India. 

Menurut laporan media, wanita berkenaan ketagih dengan makanan ringan itu dan meminta suaminya membelikan satu paket Kurkure untuknya setiap hari.

Bagaimanapun, pada suatu hari, lelaki tersebut terlupa membeli makanan ringan itu, menyebabkan si isteri keluar dari rumah selepas bertengkar dengan suaminya.

Pasangan tersebut berkahwin tahun lalu dan ketika itu semuanya kelihatan baik pada mulanya.

Bagaimanapun, si suami dilaporkan mula risau tentang keinginan luar biasa isterinya terhadap makanan ringan jenama tersebut.

Si isteri bagaimanapun mendakwa bahawa dia meninggalkan rumah kerana dipukul oleh suaminya. 

Polis sedang menyiasat dakwaan yang dibuat oleh pasangan itu. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan