Kes pemerasan RM1.25 juta, 3 pegawai kanan polis ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintendan dan Inspektor itu ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, di sini.

"Dalam siasatan awal, kesemua pegawai berusia 38 hingga 50 tahun itu menafikan terbabit dalam kes berkenaan.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat esok.

Razarudin berkata, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"PDRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya.

Katanya, PDRM sedang giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukit secukupnya bagi memastikan kesemua yang terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan