Masak mi segera di stesen minyak, 4 didenda RM500

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat individu didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Bentong hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasak menggunakan dapur gas di stesen minyak di Genting Highlands, 12 Mei lalu.

Majistret Nadratun Naiem Zainan turut memerintahkan semua tertuduh iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, Nurfatin Irdina Shahrulnizam, Nur Anis Salleh yang masing-masing berusia 24 tahun dan dan Nur Azira Azman, 23, dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka dengan niat bersama telah bertindak memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak terbabit yang merupakan perbuatan gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 1.30 pagi, 12 Mei di stesen minyak Petron Taman Cendawan dekat Genting Highlands.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Dalam rayuan, semua tertuduh memohon jumlah denda yang rendah dengan alasan mereka masih menanggung ibu bapa dan adik beradik.

Ketika ditanya mahkamah mengenai tindakan itu, Nurfatin memberikan alasan ia dilakukan kerana mereka lapar namun mengakui kesilapan yang dilakukan.

Baru-baru ini, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan individu memasak mi segera di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Mei lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan