Nepal haram produk rempah dari India selepas Hong Kong, Singapura

BHarianonline 

KATHMANDU: Nepal menjadi negara terbaharu mengharamkan pengimportan dan penjualan dua jenama rempah terkenal India, selepas timbul laporan mendakwa produk itu mengandungi racun perosak penyebab kanser, kata seorang pegawai hari ini.

Ia selepas Hong Kong dan Singapura bulan lalu, mengharamkan produk rempah keluaran syarikat Everest dan MDH masing-masing dua jenama popular dari India selepas mengesan ia mengandungi etilena oksida.

Selain digunakan sebagai racun perosak, etilena oksida digunakan untuk mensteril peralatan perubatan dan berfungsi sebagai agen pensterilan dalam rempah untuk mencegah penyakit yang disebabkan bakteria salmonella dan E.Coli.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan yang kerap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau itu berisiko meningkatkan kanser sel darah putih.

Ketua Jabatan Teknologi Makanan dan Kawalan Kualiti Nepal, Matina Joshi Vaidya, berkata keputusan untuk melarang penjualan rempah berkenaan berkait isu kesihatan awam.

"Ia adalah isu kesihatan awam. Kami telah mengharamkan import dan penjualannya mulai Khamis.

"Kami tidak mempunyai sumber makmal untuk menjalankan ujian di negara ini. Larangan itu akan ditarik balik selepas pihak berkuasa India mengisytiharkannya selamat," katanya.

Untuk rekod, Nepal mengharamkan empat produk merangkumi tiga varian yang dikeluarkan oleh MDH dan satu lagi oleh Everest.

MDH dan Everest adalah dua jenama rempah paling terkemuka di India dengan masing-masing menguasai pasaran sebanyak 16 dan 10 peratus pada 2022, menurut pemantau penyelidikan pengguna Statista.

Larangan itu mendapat respon daripada kedua-dua syarikat yang menafikan produk mereka mendatangkan bahaya kesihatan kepada pengguna.

"Kami menjelaskan dan menyatakan dengan tegas bahwa dakwaan ini tidak benar serta kekurangan bukti kukuh," kata MDH di platform X bulan lalu.

Lapor stesen penyiaran NDTV, agensi kawal selia makanan India meminta pihak berkuasa negara itu menjalankan ujian rawak terhadap produk rempah terbabit. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan