KOSMO
Pekerja kedai gajet terkejut apabila melihat laporan berita yang menunjukkan lelaki berbaju biru adalah mangsa kejadian pembunuhan. – Khaosod
BANGKOK – Seorang pekerja kedai gajet terkejut apabila mendapat tahu dia membeli telefon bimbit terpakai milik mangsa kes pembunuhan dan melihat mendiang berada di sisi suspek yang menjual barangan curi itu, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut polis, mangsa yang dikenali sebagai Paisan, ditemui mati di dalam biliknya selepas membawa pulang seorang rakan lelaki.
Suspek menggeledah bilik dan kereta mangsa serta melarikan dua iPhone sebelum menjualnya kepada sebuah kedai telefon bimbit di Pathumwan.
Seorang pekerja perempuan memberitahu polis bahawa dia melihat seorang lelaki berbaju biru mengekori suspek yang memakai baju bersama topi ‘hoodie’.
Lelaki memakai ‘hoodie’ dikenal pasti sebagai suspek, manakala individu berbaju biru itu kemudian disahkan sebagai mangsa yang telah dibunuh.
Menurut pekerja kedai, lelaki misteri itu berada di sebelah suspek sepanjang urusniaga berlangsung, malah pekerja-pekerja lain mengaku turut melihatnya.
Selepas menonton program berita dan melihat gambar suspek berdiri bersama mangsa di dalam sebuah lif sebelum dia dibunuh, pekerja kedai tersebut terkejut lalu membuat laporan polis.
“Saya amat terkejut mendengar dakwaan pekerja kedai ini. Saya percaya bahawa rakan saya terus mengekori lelaki yang membunuhnya walaupun dia telah meninggal dunia,” kata seorang sahabat karib mangsa.
Polis masih menyiasat kes pembunuhan itu dan penjualan telefon bimbit berkenaan, manakala suspek masih bebas. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan