Penjual sayur parah ditetak dengan pedang samurai

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

PAPAR: Seorang penjual sayur parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian samun di tepi jalan masuk sebuah kawasan perumahan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun dilaporkan patah tulang dan luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tunangnya baru selesai menghantar sayur di Kota Kinabalu.

Katanya, mereka kemudian pulang ke Papar sebelum singgah makan malam di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

"Mangsa bersama tunangnya meletak kenderaan di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berkenaan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi didakwa tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang senjata tajam disyaki sebilah pedang samurai menyerang tunang mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, suspek yang memakai topi keleder dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek terbabit.

Katanya, mangsa ditetak dua kali, menyebabkan kedua-dua tangannya cedera.

"Mangsa dilaporkan stabil dan kehilangan barang-barang berupa beg mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit.

"Suspek melarikan diri menggunakan Perodua Myvi yang dipercayai dipandu rakan subahat jenayah.

"Mangsa dibawa ke Hospital Papar oleh tunangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis," katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya giat mengesan suspek dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 088-912222 atau balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan