Malinda Abdul Malik
GEORGE TOWN – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjong Bungah, di sini, semalam.
Mayat wanita berusia 24 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pada jam 3.35 petang sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
Mangsa pergi ke hotel berkenaan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun dan kejadian berlaku tidak lama selepas mereka mendaftar masuk ke bilik.
Bagaimanapun, lelaki tersebut hanya menyedari rakannya itu adalah mangsa dalam insiden terbabit selepas melihat orang ramai berkumpul di tingkat bawah selain turun ke tempat kejadian bagi mendapatkan kepastian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, hasil siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bedah siasat ke atas mangsa dilakukan di Hospital Pulau Pinang hari ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berhuhung kejadian tersebut untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan