‘Pura-pura ambil gambar’, 4 lelaki asing ditahan disyaki ceroboh Pusat Hidrografi Nasional

Bernama

SHAH ALAM: Empat lelaki warga asing ditahan disyaki menceroboh kawasan pintu utama Pusat Hidrografi Nasional (PHN) di Pulau Indah, Klang dekat sini pada Ahad lalu.

Semua mereka yang berumur antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan anggota tentera laut yang sedang bertugas ketika berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bertugas di PHN pada 8 malam, 26 Mei berhubung kejadian itu sebelum mengarahkan anggota kereta peronda berdekatan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek ditahan anggota tentera laut selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN dan berpura-pura mengambil gambar.

“Suspek ditahan anggota tentera laut yang kemudiannya memaklumkan kepada polis untuk tangkapan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semua suspek direman tiga hari sehingga hari ini disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pencerobohan.

Cha berkata siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi mengesahkan ketulenan pasport, permit, dan pergerakan keluar masuk semua suspek ke Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan