Ramasamy dijel sebulan salah guna gambar Agong di PRK Kuala Kubu Baharu

KOSMO!
Ramasamy ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu, hari ini. -Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!
HULU SELANGOR – Tindakan seorang lelaki warga emas menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong untuk memeriahkan suasana pilihan raya membawa padah apabila dia dihukum penjara sebulan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, P. Ramasamy, 66, turut dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Menurut fakta kes, tertuduh melekatkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kedua-dua sisi dan belakang kenderaan tersebut selain memasang bendera Malaysia dan Negeri Johor.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh membuat rayuan dia tidak menyedari tindakannya untuk memeriahkan kempen pilihan raya di Kuala Kubu Baharu dengan membawa gambar Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan.

“Puan hakim, saya memohon ampun dan maaf, saya tidak menyedari penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu kesalahan. Saya cuma mahu memeriahkan kempen pilihan raya di sini. Jadi, saya sekali lagi memohon ampun dan maaf,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan kemudian menyatakan tidak tahu tentang penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai satu kesalahan bukanlah satu alasan yang boleh diterima.

“Justeru saya memohon hukuman yang berat dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah menghina Yang di-Pertuan Agong selain boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini kerana tertuduh juga meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti menunjukkan dia tidak menghormati institusi diraja. Tindakan tersebut juga dilihat melanggar empat prinsip rukun negara,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya bagi pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan