Seorang maut, 6 cedera ditembak di pinggir bandar Paris

AFP

Serangan di tempat letak kereta di Sevran itu dilaporkan ‘balas dendam dikaitkan dengan pengedaran dadah’.

Polis Perancis berkata, siasatan dimulakan atas pembunuhan disengajakan oleh geng terancang. (Gambar AFP)
PARIS: Seorang maut, manakala enam lagi cedera di pinggir bandar utara Paris dalam kes tembakan yang mungkin ada kaitan kegiatan pengedaran dadah, kata pendakwa raya dan datuk bandar pada Sabtu.

Serangan di tempat letak kenderaan dekat pusat kebudayaan di Sevran, yang terletak antara tengah Paris dan lapangan terbang utama bandar itu Charles de Gaulle, berlaku sekitar 11.45 malam Jumaat (waktu tempatan), kata pendakwa raya.

Sebaik tiba di lokasi, polis menemui empat mangsa cedera, dengan seorang daripadanya meninggal dunia tidak lama kemudian dan tiga lagi dibawa ke hospital dalam keadaan serius.

Sumber polis berkata, dua lelaki tiba di tempat letak kenderaan itu menaiki sebuah kereta, dengan seorang daripadanya keluar dan melepaskan tembakan. Mereka kemudian melarikan diri.

Datuk Bandar Sevran, Stephane Blanchet memberitahu AFP: “Ia jelas balas dendam dikaitkan dengan pengedaran dadah.”

Beliau berkata, ketenteraman perlu diwujudkan dengan membasmi kegiatan pengedaran dadah.

Polis memulakan siasatan atas pembunuhan disengajakan oleh geng terancang dan tiada tangkapan dibuat setakat pagi Sabtu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan