Suami bunuh isteri, cuba jual daging kepada penduduk sekampung

BHarianonline 
Gambar suspek pembunuh isteri, Tarsum, yang dirakam di lokasi kejadian oleh salah seorang penduduk kampung. - Foto AGENSI
Gambar suspek pembunuh isteri, Tarsum, yang dirakam di lokasi kejadian oleh salah seorang penduduk kampung. - Foto AGENSI
JAKARTA: Seorang lelaki di Jawa Barat, Indonesia membunuh isterinya sebelum mengeratkan mayatnya serta menawarkan daging berkenaan untuk dijual kepada penduduk sekampung.

Perbuatan ngeri itu dilakukan oleh Tarsum, 41, terhadap isterinya, Yanti, 40, di Dusun Sindangjaya, Desa Cisontrol, Kecamatan Rancah, Kabupaten Ciamis di Jawa Barat pada Jumaat.

Kira-kira tiga hari sebelum tragedi menyayat hati itu, Tarsum, yang juga penjual daging kambing di desa itu, dikatakan seperti sedang tertekan dipercayai kerana faktor kewangan dan kerap didatangi pengutip hutang.

Menurut jurucakap polis Ciamis, Akmal, pembunuhan berlaku di jalan kampung dekat rumah suspek yang berada di Desa Cisontrol, Kecamatan Rancah, Kabupaten Ciamis, pada Jumaat sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan.

"Petugas kami mendapat laporan daripada masyarakat setempat dan bergegas ke lokasi kejadian, di mana mayat ditemui dalam keadaan dikerat pada kedua-dua bahagian tangan dan kakinya, manakala tubuh serta kepala masih menyatu.

"Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis Rancah dan setakat ini, suspek dilihat tenang dan stabil, namun sehingga kini polis belum mengetahui motif pembunuhan.

"Beberapa barang bukti seperti pisau dan kayu yang digunakan Tarsum bagi melakukan pembunuhan turut ditemui manakala mayat sudah dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Pembunuhan itu menggemparkan penduduk setempat kerana suspek dikatakan cuba menjual daging isterinya yang dibawa dalam bekas, kepada orang kampung.

Ketua kampung, Yoyo Tarya berkata, dia turut ditawarkan daging berkenaan oleh Tarsum.

"Pada mulanya, saya tidak tahu berlaku pembunuhan. Tidak lama selepas itu, saya terdengar laungan suara Tarsum yang menawarkan daging isterinya untuk dijual, sambil berkata 'beli daging si Yanti, beli daging si Yanti'. Jadi, dagingnya dibawa keliling," katanya.

Yoyo kemudiannya melaporkan jenayah itu kepada pihak berkuasa, yang segera memberkas suspek.

Sementara itu, beberapa saksi lain memberitahu mangsa dipukul dengan kayu sebelum dibunuh kejam dan tubuhnya dikerat-kerat di tengah jalan, dengan disaksikan beberapa penduduk kampung yang tergamam.

"Menurut maklumat saksi lain, pembunuhan berlaku apabila mangsa hendak pergi ke masjid dan suspek disyaki memukul serta membunuh mangsa menggunakan kayu.

"Kejadian ini berlaku di jalan, tidak di rumah. Pelaku lari ke rumah membawa pisau lalu mengerat mangsa, kaki dan tangan dipisahkan," katanya.

Tambah Yoyo, selama ini Tarsum tidak pernah menimbulkan masalah, baik dalam keluarga ataupun masyarakat setempat, malah masih berniaga daging kambing sehari sebelum pembunuhan itu berlaku.

Katanya, tiga hari sebelum kejadian, Tarsum mengalami tekanan dan dilaporkan cuba membunuh diri dengan menghentak kepala ke dinding, selepas menghantar anaknya untuk dijaga jiran. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan