Takut ditangkap khalwat pecut kereta hingga terbabas


Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
KEADAAN Perodua Myvi dinaiki pasangan kekasih yang terbabas ke dalam sungai di Paya Lebar, selepas memecut laju ketika terserempak MPV polis. FOTO ihsan IPD Alor Gajah
KEADAAN Perodua Myvi dinaiki pasangan kekasih yang terbabas ke dalam sungai di Paya Lebar, selepas memecut laju ketika terserempak MPV polis. FOTO ihsan IPD Alor Gajah
Alor Gajah: Bimbang terkantoi berdua-duaan dalam kereta, pasangan kekasih nekad melarikan diri dengan memecut kenderaan dinaiki mereka sejauh kira-kira 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta itu bertindak memecut keretanya dalam kejadian pada 9.30 malam.

Menurutnya, lelaki itu bertindak demikian sejurus berselisih dengan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.

"Setiba di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke tepi jalan sebelum pemandunya terus melarikan diri.

"Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah.

"Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, anggota peronda kemudiannya menghantar wanita itu ke rumah saudaranya di Telok Gong dekat sini.

"Kita sudah mengenal pasti suspek dan siasatan mendapati lelaki itu dipercayai melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab berdua-duaan dengan teman wanitanya itu di dalam kereta.

"Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan