Harapandaily
Akibat mengemukakan tuntutan palsu bagi projek baik pulih rumah penduduk yang menjadi mangsa mangsa bencana ribut, bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen Merbok dijatuhkan hukuman denda RM45,000.
Tertuduh Mohamad Khalid Abdul Hamid, 46, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Khalid secara curang menggunakan dokumen palsu atas nama syarikat Zaifol Azri Abu Seman.
Dokumen palsu itu bagi membuat tiga tuntutan berjumlah RM29,500 bagi kerja baik pulih rumah penduduk yang rosak akibat bencana rebut di kawasan Parlimen Merbok.
Khalid didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok pada 20 Januari 2020.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Yasri Yahya.
Sementara itu, tertuduh tidak diwakili peguam.
Khalid dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan kes tersebut adalah kesalahan pertamanya.
Jelasnya, dia pada masa ini hanya bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Dalam masa sama, tertuduh juga memaklumkan menanggung ibu berusia 74 tahun dan tiga anak saudara yang kematian bapa.
Namun, pihak pendakwaan meminta hukuman maksimum dikenakan memandangkan kes terbabit membabitkan kepentingan awam dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana ribut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, tertuduh kemudian membayar denda RM45,000 yang dikenakan ke atasnya di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan