Tikam rakan 28 kali kerana dendam sering dibuli

Agensi
SUSPEK yang ditahan polis kerana membunuh rakannya. FOTO Agensi
SUSPEK yang ditahan polis kerana membunuh rakannya. FOTO Agensi
Jakarta: Remaja berusia 18 tahun di Sulawesi Barat, Indonesia, berdepan hukuman mati selepas didakwa membunuh rakan sekolahnya akibat dendam kerana sering dibuli, menurut laporan Detik.com.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Mamuju, Komisioner Jamaluddin berkata, remaja itu didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan senjata jenis badik di Mamuju, Sulawesi Barat.

"Suspek didakwa dengan Perkara 340, yang membawa hukuman seumur hidup.

"Dalam kes ini, suspek mempunyai rancangan untuk membunuh mangsa kerana pelaku menyediakan (senjata) badik yang digunakan untuk menikam mangsa sebanyak 28 kali.

"Kami merampas satu bilah badik, telefon bimbit suspek serta pakaian yang dipakai mangsa," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan, mangsa, Faril ditemui mati terbaring di Jalan Poros Topore-Toabo, Dusun Pamalaliang, Kampung Topore, Papalang kira-kira jam 6.30 petang, Khamis lalu.

Pada mulanya penduduk menyangka Faril kemalangan jalan raya sebelum siasatan lanjut polis mendapati mangsa dibunuh.

Ketua Perhubungan Awam Polis Mamuju, Herman Basir berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi jalan berhampiran dengan motosikal tanpa nombor plat miliknya.

"Hasil pemeriksaan doktor mendapati, kecederaan mangsa bukan akibat kemalangan sebaliknya kesan tikaman selepas menemui 28 tikaman pada badannya.

"Mangsa mengalami 11 tikaman di belakang, dua tikaman di lengan kanan, dua tikaman di bahu kanan, empat tikaman di muka kanan dan sembilan tikaman di belakang kepala," katanya Jumaat lalu.

Herman berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes tikam maut itu sebelum berjaya menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam di Papalang.

"Suspek didakwa menikam mangsa sehingga mati kerana sakit hati dan berdendam akibat sering dibuli mangsa ketika mereka masih belajar bersama di sekolah menengah di Papalang," katanya dalam portal detiksulsel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan