Tomboi dijel lapan bulan mengaku curi duit sedekah

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TERTUDUH diiringi anggota selepas mengaku salah mencuri wang hasil sumbangan jemaah di dua buah surau di Melaka, bulan lalu. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!
MELAKA – Seorang wanita berperwatakan lelaki dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah melarikan wang di dalam tabung di dua buah surau, bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 25, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat didapati telah melakukan kesalahan pecah rumah ke atas Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah di sini bagi maksud untuk mencuri wang tunai berjumlah RM700 milik surau berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam pada 23 April lalu yang mana jika sabit kesalahan tertuduh hendaklah dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati telah melakukan kesalahan mencuri wang tabung milik Surau Selekoh Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu dalam derah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga didenda di bawah Seksyen 380 kanun sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara yang singkat diberikan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 April lalu, selain mempunyai anak yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan curi dan pernah dipenjarakan selama enam bulan tahun lalu.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh ditangkap bagi kedua-dua pertuduhan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan