Wanita ini sanggup bunuh rakan, culik bayi untuk dapat anak segera

Agensi
ERIKA Miranda-Alvarez (kiri) mengaku bersalah menikam Carolina (kanan). FOTO Agensi
ERIKA Miranda-Alvarez (kiri) mengaku bersalah menikam Carolina (kanan). FOTO Agensi
Houston: Hanya kerana ingin memiliki cahaya mata segera selepas mengalami keguguran, seorang wanita dari Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) sanggup membunuh rakannya iaitu ibu lima anak semata-mata untuk menculik bayi ibu malang itu yang berusia enam minggu.

Mirror UK melaporkan Erika Miranda-Alvarez, 35, dijatuhi hukuman 40 tahun penjara selepas mengaku bersalah kerana menikam sehingga mati Carolina Flores, 33, untuk menculik bayi bernama Shamali Flores selepas tertuduh mengalami keguguran.

Mengikut dokumen mahkamah, Miranda-Alvarez adalah kawan kepada Carolina dan keluarganya selama beberapa tahun sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.

Kedua-dua wanita itu hamil pada masa yang sama sebelum Miranda-Alvarez keguguran.

Selepas apa yang menimpanya, Miranda-Alvarez menjadi lebih rapat dengan Carolina dan merahsiakan kegugurannya.
Shamali Flores ditemui selamat bersama Miranda-Alvarez selepas dua hari ini. FOTO Agensi
Shamali Flores ditemui selamat bersama Miranda-Alvarez selepas dua hari ini. FOTO Agensi
Namun, Carolina mati ditikam di apartmennya pada 19 Disember 2017 dan ahli keluarga Carolina yang menemui mayat ibu itu kemudian menyedari bayi mangsa turut hilang.

Pihak berkuasa melakukan operasi besar-besaran selama dua hari untuk mencari bayi yang hilang itu.

Amaran juga dikeluarkan sebelum pasukan khas SWAT yang dikerahkan ke kawasan lokasi disasarkan bertindak menggeledah rumah Miranda-Alvarez yang mana bayi itu ditemui selamat.

Dua gelang tangan hospital ditemui di dalam poket pembunuh, satu milik Carolina dan satu lagi milik bayinya Shamali Flores, lapor Daily Mail.

Abang Carolina, Juan Martinez-Miranda berkata, dia sukar untuk menggambarkan perasaannya sama ada kecewa, sedih, atau marah.

Pendakwa raya berkata, Miranda-Alvarez merancang plot jenayah itu secara sistematik termasuk selepas ditahan polis, wanita itu mendakwa dia mengambil bayi itu ke rumahnya selepas mendapati Carolina mati di apartment milik Carolina.

Tetapi, dia menafikan membunuh rakannya itu.

Penolong Peguam Daerah Harris County Casey Smith berkata: "Dia (Miranda-Alvarez) tahu apa yang dia lakukan adalah salah.

"Kami tahu itu perbuatannya berdasarkan apa yang dia diceritakan termasuk membuang telefon bimbit mangsa ke dalam tangki tandas," katanya.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, Miranda-Alvarez tidak akan layak untuk merayu sabitan kesalahannya dan mesti menjalani hukuman penjara penuh selama 20 tahun sebelum dia layak untuk menjalani parol.

Peguam Daerah Harris County Kim Ogg menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan terancang dan penculikan yang sepatutnya tidak berlaku.

"Saya harap ada cara untuk mengelakkan semua kemudaratan dan kesakitan (akibat keguguran) yang ditimbulkan oleh defendan ini kepada orang lain.

"Apa yang boleh kita lakukan kini ialah berusaha untuk memastikan dia menghabiskan beberapa dekad dalam penjara kerana tindakannya itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan