Wanita tak mengaku pukul 'anu' suami curang dengan kayu besbol

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Muar: Suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap suaminya dengan memukul alat sulit menggunakan kayu besbol selepas 'kantoi' menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, tahun lalu.

Lim Siow Leng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa menyerang yang mungkin menyebabkan kematian, menggunakan kayu besbol di sebuah kilang Jalan Kim Kee di sini, pada jam 9.20 pagi, 11 November 2023.

Berikutan itu, tertuduh yang kini dalam proses penceraian didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada dua hukuman terbabit jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, tertuduh dikatakan bertindak demikian selepas mendapati suaminya yang berusia 42 tahun itu menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita warga asing.

Tertuduh dilaporkan berang dengan perbuatan suaminya itu lalu mengambil kayu besbol dan memukul alat sulit lelaki hingga berdarah.

Akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja sendiri itu mengalami pendarahan dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Tertuduh ditahan pada 12 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh diikat jamin namun terpulang kepada budi baca hakim untuk membenarkannya.

Selepas mendengar hujahan dan juga rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula.

Selain itu, tertuduh juga memecahkan cermin kereta suami menggunakan peralatan sama sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Bagi perbuatan itu, dia berhadapan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.

Wanita itu kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan