Warga asing selamba buka pusat judi, hiburan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merampas pelbagai peralatan hiburan dan minuman keras di sebuah kedai makan dalam serbuan di Desa Aman Puri, Selayang di sini, semalam. FOTO Ihsan MPS
Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merampas pelbagai peralatan hiburan dan minuman keras di sebuah kedai makan dalam serbuan di Desa Aman Puri, Selayang di sini, semalam. FOTO Ihsan MPS
Kuala Lumpur: Tiga premis yang dijadikan pusat perjudian dan hiburan di Selayang di sini, diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Korporat MPS dalam satu kenyataan hari ini, serbuan kira-kira 8 malam membongkar aktiviti perjudian di dua premis di Desa Aman Puri, di sini.

"Premis yang dikendalikan warga asing itu disyaki baru beroperasi sebulan lalu dan tidak memiliki lesen perniagaan sah dari MPS.

"Pasukan merampas 48 unit mesin elektronik yang disyaki digunakan untuk berjudi, tujuh televisyen, dua unit komputer dan beberapa peralatan lain," kata kenyataan itu.

Dalam operasi berasingan, MPS berkata, pihaknya menyerbu rumah kedai yang dijadikan pusat hiburan dan kedai makan.

Menurut kenyataan, pasukan terpaksa memecahkan pintu premis berkenaan kerana pekerja tidak memberi kerjasama. Pintu masuk premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pelanggan yang dikenal pasti dibenarkan masuk.

"Premis itu menyasarkan pelanggan warga Myanmar yang mana hanya menjual makanan dan barangan runcit dari negara berkenaan.

"Premis juga diubahsuai sebagai pusat karaoke yang menyediakan lagu negara itu dengan bayaran RM50 untuk sejam, selain menghidangkan minuman keras tanpa cukai. Tiga pekerja wanita warga Myanmar memaklumkan premis dimiliki rakyat tempatan dan mereka baru bekerja enam bulan," katanya.

Katanya, pasukan menyita 51 botol minuman keras dan pelbagai alat hiburan.

MPS mengeluarkan empat kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) 3, Undang Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007; UUK 3(1) Undang Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan