BHarianonline
Polis Indonesia turut menahan isteri Troy Smith, Tracy Ijusa (kanan) tetapi dia didapati tidak terbabit. - Foto AFP
DENPASAR: Seorang lelaki Australia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lebih AS$600,000 (RM2.8 juta) kerana didakwa cuba menjual dadah jenis kristal di pulau peranginan Bali, menurut polis hari ini.
Polis Indonesia berkata, suspek berusia 49 tahun, dikenali TAS atau Troy Smith seperti dipetik oleh media Australia, ditahan pada 30 April di sebuah hotel di pulau pelancongan popular itu.
Ketika ditahan, turut ditemui bersamanya 3.19 gram kristal methamphetamine dan isterinya, warga asing yang hanya dikenali dengan nama TIM, turut ditahan, namun didapati tidak terbabit.
Timbalan pengarah siasatan dadah polis Bali, Ponco Indriyo, berkata Smith didakwa dengan 'urus niaga dadah', iaitu menawarkan untuk menjual atau menjadi broker narkotik.
Pertuduhan ke atasnya boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda 10 bilion rupiah (RM2.49 juta).
Smith juga didakwa memiliki dadah, yang membawa hukuman maksimum penjara 12 tahun dan denda maksimum lapan bilion rupiah (RM2.35 juta).
Indriyo berkata, pihak berkuasa turut mengarahnya menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah.
Katanya, suspek telah menerima bungkusan mengandungi dadah jenis meth yang dihantar oleh seorang rakannya di Australia.
Sementara itu, kenyataan media dikeluarkan polis Bali menyatakan, bungkusan itu mengandungi satu tiub ubat gigi Colgate mengandungi 3.15 gram dadah kristal.
Smith tidak muncul ketika sidang media berlangsung, berbeza dengan kelaziman dilakukan oleh pihak berkuasa di Indonesia yang akan mendedahkan suspek kepada media.
Indriyo juga menjelaskan, tiada bukti pembabitan oleh isterinya atau dikenali Tracy Ijusa, seperti dipetik dalam laporan media Australia.
Indonesia memiliki beberapa undang-undang dadah paling keras di dunia termasuk hukuman mati bagi pengedar.
Terdapat berpuluh-puluh pengedar dihukum mati di Indonesia, termasuk seorang nenek penyeludup kokain British dan seorang wanita Filipina yang dituduh menyeludup heroin. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan