2 didakwa minta, terima rasuah bantu selesai masalah duti eksais kastam RM108 juta

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Dua ahli perniagaan, Chan Eng Leong (kiri) dan Tan Kok Siang masing-masing berdepan 10 pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM7 juta bagi membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada September 2019, hadir di Mahkamah Butterworth hari ini. NSTP/DANIAL SAAD
Dua ahli perniagaan, Chan Eng Leong (kiri) dan Tan Kok Siang masing-masing berdepan 10 pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM7 juta bagi membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada September 2019, hadir di Mahkamah Butterworth hari ini. NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais bernilai RM108 juta dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), lima tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong dan Tan Kok Siang masing-masing berusia 50 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama meminta wang berjumlah RM4 juta daripada Pengarah syarikat GTM Land and Property Sdn Bhd, Goh Choon Kim.

Bagi sembilan pertuduhan lagi, mereka didakwa menerima wang berjumlah RM2,675,150 melalui sembilan keping cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank syarikat Hotspot Capital (M) Sdn Bhd milik Eng Leong.

Ia sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan JKDM bernilai RM108 juta yang dihadapi syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int) Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Mertajam serta sebuah bank di Queensbay Mall di Bayan Lepas dekat sini pada 12 September 2019.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wirna Ariffin, Muhammad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi, manakala Eng Leong diwakili peguam RSN Rayer dan Kok Siang pula diwakili peguam S Meharaj.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan jaminan masing-masing RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh, dengan tiga syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula 2 Ogos depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan