3 remaja bongkar pasangan tidak dikenali tanam janin

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi janin terbabit di tanam di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi janin terbabit di tanam di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Kota Kinabalu: Kecurigaan tiga remaja perempuan dengan kelibat dua individu tidak dikenali di kawasan tanah lapang di Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, di sini, terjawab apabila menemui bungkusan kain mengandungi janin yang ditanam di kawasan berkenaan, malam tadi.

Seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat lelaki dan wanita berhampiran kawasan tanah lapang dengan membawa beg dan penyodok tanah pada 8 malam.

Ketika itu, dia bersama dua rakannya berada di bilik sewa mereka di tingkat satu dan cuba untuk memeriksa namun ketika itu hujan.

Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka memeriksa di kawasan tanah lapang berkenaan dan terlihat ada kesan tanah digali.

Curiga dengan keadaan itu, mereka mengorek semula tanah bagi melihat apa yang ada di dalamnya.

Lalu terkejut apabila terdapat janin di dalam bungkusan berkenaan dan terus membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan janin terbabit.

Menurutnya, sepasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Janin itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan