4 PDM penentu kemenangan PH, PN di

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan empat pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Sungai Bakap akan menyaksikan pertembungan sengit antara parti bertanding, terutama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRK 6 Julai ini.

Berdasarkan keputusan PRN lalu, selain Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang menyuarakan hasrat bertanding, dua gabungan itu dijangka memfokuskan PDM Padang Lalang, Sungai Duri, Kampung Besar dan Puteri Gunong.

Pada PRN Ogos tahun lalu, PN menguasai PDM majoriti Melayu iaitu Sungai Duri dengan kelebihan 1,940 undi, Padang Lalang (823) dan Kampung Besar (733), manakala PH menang di PDM campuran Puteri Gunung (sekitar 2,000 undi) yang mempunyai pengundi teramai.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kunci kemenangan bergantung kepada kemampuan PN memperluaskan sokongan pengundi Melayu di PDM terbabit, manakala PH pula “menyerap” sedikit undi di kawasan itu yang menyebabkan kekalahannya pada PRN lalu dengan majoriti 1,563 undi.

“PN tiada pilihan melainkan fokus pertahan kawasan ini kerana perlu sokongan orang Melayu, trend pengundi dari komuniti lain seperti dapat dilihat pada PRK Kuala Kubu Baharu lebih cenderung sokong PH.

“Jadi, PH boleh beri lebih fokus di kawasan Melayu dikuasai PN ini dan saya percaya kerjasama dengan Umno mungkin boleh membantunya meraih sekurang-kurangnya 15% hingga 20% undi Melayu di Sungai Bakap,” katanya kepada FMT.

Beliau menjangkakan PN akan terus memainkan isu Melayu dan Islam yang mungkin dekat di hati pengundi di tiga PDM terbabit, memandangkan mereka berdepan keterbatasan menawarkan janji pembangunan kerana bukan pemerintah di peringkat pusat atau negeri.

Dalam usaha mengurangkan “defisit” PN pada PRN lalu, katanya, PH dijangka menawarkan manifesto untuk menyalurkan bantuan bagi memajukan kawasan luar bandar seperti Sungai Bakap.

“Menguasai kerajaan Pulau Pinang dan pusat, PH mempunyai kemampuan melaksanakan agenda pembangunan berterusan di Sungai Bakap.”

Namun, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat peratusan keluar mengundi antara faktor akan mempengaruhi keputusan PRK, selain isu semasa seperti penyasaran subsidi diesel yang didakwa menyebabkan kenaikan harga barang.

“Saya tak tolak kemungkinan PN akan terus main naratif Melayu, tetapi kini mereka ada modal lebih besar dari segi isu, contohnya dakwaan berkaitan harga diesel diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Jika naratif itu berjaya disensasikan, tidak mustahil PN menang di Sungai Bakap. Ini cabaran untuk PH dan Barisan Nasional (BN) tangkis serangan terbabit.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai penamaan calon dan hari mengundi pada 6 Julai ini. Pada PRN tahun lalu, calon PN menewaskan Pakatan Harapan dengan majoriti 1,563 undi.

DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Kali ini, PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminudin Baki di Kedah, Joohari Ariffin untuk merampas kerusi itu daripada PN yang meletakkan pembantu Zamri, Abidin Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan