Akauntan melopong duit RM2.2 juta dikebas scammer

MOHD SHARKAWI LONDING

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang akuantan untuk melabur dalam pasaran saham lebur apabila dia bukan sahaja tidak memperoleh keuntungan, malah mengalami kerugian berjumlah  RM2,276,000 akibat ditipu scammer.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumad berkata, mangsa yang berusia 75 tahun menerima satu mesej menerusi WhatApps berkaitan pelaburan saham secara dalam talian pada 19 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dalam mesej sama mangsa turut diberikan penerangan tentang cara untuk melabur dan dijanjikan dengan keuntungan lumayan.

“Tertarik dengan janji yang ditawarkan, mangsa mengikut arahan suspek dan memuat turun satu aplikasi serta mendaftarkan akaun bagi memantau pelaburan tersebut.

“Mangsa memulakan pelaburan pada Mei dan Jun tahun ini dengan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun dengan arahan suspek yang berjumlah RM2,276,000.

“Mangsa memantau pelaburannya di aplikasi dan mendapati pelaburannya mencapai keuntungan RM12.9 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, teruja dengan keuntungan yang dipaparkan itu, mangsa berhasrat mengeluarkan keuntungan tersebut, namun suspek mengarahkan mangsa membayar komisen sebanyak RM1.6 juta.

Tambahnya, mangsa tidak membayar komisen itu dan mengesaki dia ditipu sebelum membuat laporan polis di Johor Bahru semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan