Akhirnya Kg Sungai Baru 'meyala' semula menjelang Aidiladha

Shamz Johan
story-image
Bekalan elektrik di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur akhirnya disambung semula selepas ia dipotong pihak berkuasa, pada pagi 10 Jun lalu.

Ia dibuat beberapa jam selepas bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang juga pemimpin Amanah menyelar tindakan pihak berkuasa.

Menurut seorang penduduk, penyambungan bekalan itu dibuat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB ) bermula jam 10.30 malam semalam dan tamat kira-kira jam 7 pagi tadi.

Nadia Ali, 35, berkata TNB diiringi polis bantuan datang membuat penyambungan elektrik pada rumah yang masih berpenghuni.

"TNB dengan polis bantuan datang lebih kurang jam 10.30 malam untuk menyambung semula bekalan elektrik di semua rumah yang masih berpenghuni iaitu flat dan rumah teres. Proses pemasangan sejak malam tadi selesai pagi tadi.

"Beberapa penduduk yang juga ahli jawatankuasa bertindak turut memantau kerja-kerja penyambungan yang dijalankan supaya tiada rumah yang tercicir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan 37 keluarga terjejas selepas bekalan air dan elektrik dipotong oleh pihak berkuasa pada 10 Jun lalu.

Mereka antara kumpulan penduduk yang masih tinggal di kampung berkenaan walaupun sebahagian besar telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menghendaki mereka keluar dengan pampasan.

Situasi tersebut mendatangkan kesukaran kepada keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas yang terlantar.

Seorang lagi penduduk, Saiful Azhar Ibrahim, 52, menzahirkan kelegaan selepas rumahnya kembali mendapat bekalan elektrik.

"Alhamdulillah, sedikit lega. Dapatlah kami bertahan lagi tapi tak pastilah sampai bila kerana bekalan air masih tidak disambung," katanya.

Sementara itu, Khalid yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB serta pihak media dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penyambungan semula bekalan elektrik ini adalah wajar kerana kebanyakan penduduk kampung tersebut beragama Islam dan akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada minggu hadapan.

"Amat sedih jika nasib mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kepada pihak media, Amanah Wilayah Persekutuan mengucapkan ribuan terima kasih atas liputan dan sokongan yang diberikan bagi membantu nasib penduduk Kg Sungai Baru yang memerlukan pembelaan.

"Manakala, terima kasih juga kepada pihak TNB yang telah melakukan kerja penyambungan elektrik pada malam tadi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan