WAN SITI AMINAH
Seorang wanita langsung tidak menyangka, suaminya sanggup mencipta pelbagai alasan hanya kerana tidak mahu menunaikan nafkah.
Malah, lelaki yang merupakan warga asing itu mengakui dirinya tidak tahu menahu mengenai ‘nafkah’ meskipun dibesarkan di luar negara sebagai penganut agama Islam.
Berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Melur yang mahu orang ramai memberikan pendapat dan cadangan bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dihadapinya.
“Assalamualaikum semua pembaca. Aku nak meluah, sekali gus meminta pandangan dan pendapat. Aku berada dalam keadaan yang sangat mengelirukan. Antara cinta, kasih dan tuntutan hati. Aku baru sahaja menikah selepas hampir 20 tahun membela dan mendidik empat orang anak, seorang diri.
“Aku jaga daripada mereka kecil sampailah sekarang, semuanya sudah masuk alam pekerjaan. Memandangkan anak sudah besar dan tanggungjawab terhadap mereka juga sudah tiada, aku buat keputusan untuk berkahwin dengan warga asing. Banyak sebablah kenapa aku lebih memilih orang luar berbanding warga tempatan.
“Kerana sebab itu jugalah, aku rela menjanda hampir 20 tahun. Seriklah orang kata. Awal perkahwinan kami indah, macam dalam cerita novel. Suami melengkapi seluruh cita rasa yang aku idamkan daripada seorang lelaki. Tetapi daripada mula berkahwin hingga sekarang, dia tidak memberi aku satu sen pun nafkah.
“Suami hanya memberi duit mas kahwin dan bayar makanan waktu dia bersama aku di sini. Selepas tiga minggu perkahwinan, dia pulang ke negara asalnya kerana masih bekerja. Suami merancang untuk menyelesaikan semua hal di sana dahulu sebelum berpindah ke sini. Aku tertunggu-tunggu nafkah yang dia tak pernah sebut.
“Akhirnya aku buat keputusan untuk bertanya kepada suami. Rasanya jawapan diberi suami hanyalah satu alasan semata apabila dia mengakui tak tahu langsung tentang nafkah! Sedangkan hakikatnya, dia memang beragama Islam walaupun membesar di negara terhebat di dunia. Hal lain tentang Islam, dia tahu semuanya.
“Suami juga mengamalkan ajaran Islam dan solat lima waktu. Selepas aku ceritakan mengenai kewajipannya, dia masih keberatan untuk mengirimi nafkah dengan seribu alasan. Sebagai contohnya, mahu melangsaikan hutang dan keperluan peribadinya. Semua ini membuatkan aku jadi jauh hati, seperti merajuk sangat-sangat.
“Apa yang harus aku lakukan? Tunggu empat bulan untuk failkan fasakh ataupun aku perlu belajar ikhlaskan sahaja nafkah seperti yang dia minta? Sebab suami rasa, dia masih belum mampu buat masa sekarang. Adakah kami ini masih sangat baru untuk saling mengenali kerana berkahwin selepas sebulan kenal?
“Sejujurnya aku sayangkan suami. Tetapi sebagai seorang ibu serta wanita yang tak pernah ditolong sesiapa, aku sangatlah harapkan ‘nafkah’ daripada seorang suami walaupun jumlahnya sedikit untuk merasa diri disayangi.” Kata Melur (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan