Anwar bidas pihak guna isu Blackrock untuk kepentingan politik

'Siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi dulu?’, bidas PM Anwar
Harapandaily

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak tertentu yang ‘menunggang’ isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Katanya, sebagai Perdana Menteri, beliau akan melakukan segala yang termampu bagi membawa suara rakyat Palestin namun dalam masa yang sama, tidak boleh mengambil tindakan yang akan melemahkan ekonomi negara.

“Saya percaya ada hujah yang diberikan secara ikhlas, ada sebahagian lagi nak tunggang (sebagai) isu politik.

“Boleh tegur saya, tak ada masalah. Tapi jangan nak tunjuk pahlawan.

“Siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh mantan perdana menteri tahun 2002, diteruskan oleh semua kerajaan, semua pemimpin termasuk mantan-mantan menteri yang bising sekarang.

“Saya ambil keputusan batalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang beroperasi dari Israel.

“Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di Amerika Syarikat, Jerman, China, yang ada kaitan dengan Israel?

“Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan jejaskan ekonomi negara.

“Kita runding dulu dengan Global Infrastructure Partners (GIP). Akhir tahun lalu, BlackRock ambil alih.

“BlackRock ada operasi atau syarikat yang ada kepentingan BlackRock ada di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham.

“Jadi saya, sementara keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, saya akan berdepan dengan sesiapa saja, tetapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan hasrat MAHB menjual 30 peratus saham mereka kepada BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam Malaysia Airports MAHB.

Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan