Cuma nak tanya pemilik kilang warga mana dah ditangkap ke?

Kilang haram upah penyelia wanita jaga 9 pekerja lelaki
Oleh OTHMAN YAHAYA
Sharifah Zakiah (dua dari kanan) memeriksa bahan buangan elektrik dan elekronik yang diproses secara haram di sebuah kilang di Kampung Buluh, Tikam Batu dekat Sungai Petani hari ini.
SUNGAI PETANI – Tawaran gaji lumayan menyebabkan seorang wanita dari China sanggup bekerja di sebuah premis yang menjalankan aktiviti pemerolehan bahan buangan elektrik dan elektronik tanpa permit kerja sah.

Bagaimanapun, operasi haram premis yang terletak di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Buluh, Tikam batu itu berakhir hari ini apabila diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas mengumpul maklumat selama dua bulan.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, serbuan bermula pukul 9 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia.

“Kita mengalami kesukaran memasuki premis yang menggunakan dua lapisan pagar yang tinggi dan alat kawalan jauh itu sehingga memaksa anggota penguat kuasa memecah pagar.

“Dalam pemeriksaan lanjut kita berjaya menemui kira-kira 100 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik yang merupakan barang buangan terjadual yang diproses tanpa kelulusan dan tanpa alat kawalan,” katanya.

Menurut Sharifah Zakiah, turut ditahan ialah sembilan pekerja Bangladesh termasuk seorang penyelia wanita dari China.

“Premis itu disyaki beroperasi secara haram dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dibawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Barangan yang disyaki diimport dari luar dan disita itu pula bakal disiasat di bawah Seksyen 18(1), 34A(1) dan 34(B)(1) akta sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan