Dua beranak dijel, denda RM240,000 seleweng LPG

MOHD YUNUS YAKKUB
Yih Pak (kanan) dan Yuan Yih selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
SHAH ALAM – Dua beranak dipenjara sehari dan denda keseluruhan RM240,000 oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan menyeleweng gas petroleum cecair (LPG), tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainudin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pihak pendakwaan terhadap rayuan keputusan kes dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 28 Jun tahun lalu terhadap tertuduh Leong Yih Pak, 63 dan Leong Jun Yuan Yih, 36.

“Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan mahkamah rendah, namun hukuman dipinda kepada denda RM20,000 bagi setiap enam pertuduhan dihadapi kamu atau penjara setahun sekiranya gagal bayar.

“Bagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) pula hukuman dipinda kepada penjara sehari bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak,” tegasnya.

Terdahulu, pada prosiding tersebut Peguam Amer Hamzah Arshad dan Joshua Tay memaklumkan Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan dan mempersetujui repsentasi dikemukakan pihaknya dengan kali terakhir pada 27 Mei lalu.

Berdasarkan representasi tersebut, hukuman penjara bagi setiap pertuduhan bermula tarikh sabitan 19 September 2021 sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan denda RM20,000 bagi setup pertuduhan.

“Ini bermakna kedua-dua perayu akan didenda keseluruhan RM120,000 setiap seorang bagi enam pertuduhan yang dihadapi masing-masing.

“Bagi pelucuthakkan wang yang disita oleh pihak pendakwaan, kita tidak akan membantah permohonan lucut hak yang akan dibuat oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang pada 28 Jun ini.

“Namun, tiga pertuduhan bawah AMLA yang dikenakan hukuman penjara diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara sehari yang berjalan serentak seperti yang dipersetujui dalam representasi”.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi mengesahkan perkara tersebut dengan jumlah keseluruhan pelucutan hak adalah berjumlah RM457,502.79.

Berdasarkan tiga pertuduhan, anak beranak yang merupakan pekongsi Syarikat Perniagaan Soon Lee telah didakwa menjual barang kawalan iaitu LPG kepada syarikat Biomax Rubber Industries Sdn. Bhd dengan keseluruhan 11,528 tong LPG seberat 12 kilogram setiap satu dan telah melanggar Peraturan 9(2) (b) Peraturan-Peratuan Kawalan Bekalan 1974.

Kedua-duanya juga didakwa tiga lagi pertuduhan telah gagal menyelenggara buku stok barang berjadual iaitu LPG dengan tidak merekodkan butiran maklumat berkaitan harga, nama serta alamat pembeli seterusnya melakukan kesalahan dibawah 13 (1) peraturan sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di syarikat mereka di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Gombak antara 1 Mei hingga 31 Julai, 2017.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi badan korporat termasuk pengarah dan pegawai mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO ONLINE!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan