Dua wanita maut nahas lori gagal memotong

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
KEADAAN Myvi dinaiki mangsa selepas dilanggar sebuah lori yang gagal memotong di Jalan Jasin - Merlimau, Melaka.
JASIN – Dua wanita maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka dilanggar sebuah lori yang gagal memotong dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Jasin – Merlimau, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Masitah Mohamed, 27, yang memandu dan penumpang, Nurul Syakirin Ahmad Mokhtar, 24, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian lima buah kenderaan terlibat iaitu Perodua Viva, Alza, Myvi dan dua buah lori jenis Hino serta Nissan dalam perjalanan dari arah sama Jasin menuju ke Merlimau.

Katanya, setiba di lokasi lori Hino terbabit cuba memotong Viva dan Alza di hadapannya tetapi gagal lalu masuk semula ke laluan asal pergerakannya.

“Semasa bergerak masuk, lori terbabit gagal mengawal kenderaan dan bergesel dengan Viva serta Alza sebelum melanggar Myvi yang dinaiki si mati.

“Ketika pelanggaran berlaku, Myvi tersebut dan dua kenderaan terlibat sedang berhenti kerana terdapat kerja-kerja menaik taraf jalan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, lori terbabit turut melanggar sebuah lagi lori Nissan yang juga sedang berhenti di belakang Myvi berkenaan.

“Pemandu serta penumpang Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan