Enam suspek pemburu haram ditahan dipercayai bunuh, lapah dan jual tulang harimau belang

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA suspek yang  ditahan   terbabit   membantu aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi.
ANTARA suspek yang ditahan terbabit membantu aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi.
Putrajaya: Penemuan mengejutkan apabila pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menemui rangka dan tulang lengkap harimau belang milik 'geng pemburu' haram.

Harimau belang itu dipercayai dibunuh sebelum dilapah dagingnya manakala tulang haiwan itu disimpan dipercayai untuk dijual di pasaran gelap.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan itu adalah hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai Perhilitan.

Menurutnya, kejayaan itu membabitkan dua serbuan di dua lokasi di Rompin, Pahang, kelmarin.

"Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah premis manakala serbuan kedua dilakukan di sebuah kediaman di Rompin, Pahang, sekitar jam 6 petang hingga jam 8.30 petang kelmarin.

"Susulan operasi dilakukan itu, seramai enam suspek berjaya diberkas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan haram hidupan liar dilindungi.

"Antara suspek ditahan membabitkan tiga lelaki Orang Asli yang terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar," katanya.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an yang disyaki mengaturkan penjualan hidupan liar kepada pembeli.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dikesan menyembunyikan rangka tulang harimau.

"Pihak kami turut merampas sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual sindiket," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan pegawai Perhilitan di kediaman suspek menemui beg berisi rangka kepala harimau belang.

"Turut ditemui sebuah lagi beg yang berisi tulang-tulang harimau belang. Suspek dipercayai memburu atau menjerat haiwan liar dilindungi itu sebelum tulangnya dikumpulkan.

"Semua tulang haiwan, kereta dan telefon pintar dirampas dianggarkan bernilai lebih RM228,000," katanya.

Susulan itu semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 dan penjara tidak melebihi 15 tahun.

Selasa lalu, Perhilitan Pahang menahan tiga lelaki warga Kemboja selepas disyaki memburu hidupan liar secara haram di Hutan Simpan Berkelah, Pahang.

Pasukan Taktikal Khas Perhilitan (Sparta) juga turut menemukan beberapa utas jerat dan bahagian hidupan liar berserta peralatan kerja yang dipercayai digunakan untuk mengambil hasil hutan ketika pemeriksaan dijalankan di khemah warga asing itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan