Etnik Rohingnya berani cucuk tanam di tanah kerajaan

NOR SHAFAWATI YUP
PEJABAT daerah dan Tanah Seremban menjalankan operasi pembersihan di tanah kosong milik kerajaan di Taman Jujur, Sikamat di sini yang dikesan digunakan etnik Rohingnya untuk bercucuk tanam. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!
SEREMBAN – Sekumpulan etnik Rohingnya dikesan menjadikan tanah kosong milik kerajaan di Taman Jujur, Sikamat di sini sebagai lokasi bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran untuk keperluan sara hidup mereka.

Kegiatan etnik tersebut yang tinggal di kawasan berdekatan dipercayai dilakukan tanpa keizinan pihak berkuasa dan menyalahi undang-undang.

Tinjauan mendapati antara sayuran yang ditanam di tanah seluas lebih kurang setengah ekar (0.2 hektar) itu ialah cili, terung bulat, pisang dan kunyit.

Lebih berani, mereka turut memasang alat penyembur tanaman yang dipasang di bawah tanah bagi mengaburi pihak berkuasa, bagaimanapun punca sambungan air alat itu masih belum dapat dikesan daripada mana.

Hasil daripada aduan orang awam, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah melakukan operasi bagi membersihkan kawasan berkenaan daripada sebarang tanaman pagi tadi

Timbalan Pentadbir Tanah Seremban, Isnizawati Muhammad Khairudin berkata, pihaknya mengesahkan tanah berkenaan diwartakan sebagai kawasan lapang di bawah kawalan kerajaan negeri.

“Berdasarkan rondaan berkala daripada aduan yang diterima menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, kami sahkan berlaku pencerobohan.

“Susulan mesyuarat tergempar, kami dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), polis dan Pusat Khidmat Dun Sikamat melakukan pembersihan hari ini,” katanya ketika ditemui di Taman Jujur, Sikamat di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan