AFP
Kebakaran di sebelah Israel di sempadan Israel-Lubnan berikutan serangan dari Lubnan, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan antara Hizbullah dan tentera Israel. - Foto REUTERS
BAITULMAQDIS: Hizbullah di Lubnan melepaskan puluhan tembakan ke utara Israel hari ini, kata tentera Israel, sehari selepas Israel mengeluarkan amaran 'perang total' dengan kumpulan pejuang yang disokong Iran itu.
Hizbullah yang juga sekutu Hamas dan Israel berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza tercetus pada 7 Oktober.
"Kira-kira 15 peluru dikenal pasti dari Lubnan dilepaskan ke arah kawasan Kiryat Shmona, dengan beberapa daripadanya berjaya dipintas oleh barisan pertahanan udara (tentera) IDF.
"Senjata IDF mengenai punca tembakan itu," kata tentera zionis dalam satu kenyataan.
Mereka juga mengesahkan, serangan itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
Tentera zionis juga berkata, pesawat perangnya turut menyerang struktur tentera Hizbullah di kawasan Tire dan infrastruktur di Khiam, Lubnan.
Hizbullah hari ini juga mengesahkan mereka melepaskan 'puluhan roket Katyusha dan peluru artileri' ke sebuah berek di Kiryat Shmona di utara Israel sebagai tindakan balas terhadap 'serangan musuh Israel' ke atas Yarun dan Khiam.
Perang hari ini berlaku sehari selepas tentera Israel berkata, mereka meluluskan rancangan operasi untuk serangan di Lubnan.
"Sebagai sebahagian daripada penilaian situasi, rancangan operasi untuk serangan di Lubnan sudah diluluskan dan disahkan," kata tentera zionis dalam satu kenyataan.
Kelulusan itu dibuat ketika Menteri Luar Israel, Israel Katz memberi amaran kepada Hizbullah, kelmarin mengenai mereka akan dimusnahkan sekiranya berlaku 'perang total' di antara kedua-duanya.
"Kami sangat hampir dengan saat untuk memutuskan menukar peraturan permainan menentang Hizbullah dan Lubnan.
"Dalam perang total, Hizbullah akan dimusnahkan dan Lubnan akan diserang hebat ," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Keputusan serangan terbaharu itu berlaku ketika utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein melawat Israel dan Lubnan minggu ini, yang juga menggesa supaya pengurangan situasi 'mendesak' di sempadan.
Menurut pengiraan AFP, pertempuran Israel-Lubnan juga sudah membunuh sekurang-kurangnya 473 orang di Lubnan termasuk 92 orang awam.
Pihak berkuasa Israel pula menyatakan, sekurang-kurangnya 15 tenetra dan 11 orang awam terbunuh di utara wilayah mereka.
-bharianonlime
Tiada ulasan:
Catat Ulasan