Jual petrol RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak berdepan denda RM1j

Amir Mamat
bhnews@bh.com.my
Gambar tular kereta dari negara jiran yang mengisi minyak bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah.
Gambar tular kereta dari negara jiran yang mengisi minyak bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah.
ALOR GAJAH: Sebuah stesen minyak di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas pengusahanya dipercayai menjual minyak petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar, berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.

Beliau berkata, video tular itu memperlihatkan seorang individu yang menaiki kenderaan bernombor pendaftaran dipercayai dari negara jiran mengisi petrol bersubsidi.

"Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.

"Kesalahan disyaki dibuat jam 4.35 petang, Ahad lalu dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi 'outdoor payment terminal' (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norena berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).

"Kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan