Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
PENDUDUK menunjukkan lokasi tempat pembuangan daging babi sejuk beku di Kampung Kuala Lah, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Lebih 30 nelayan darat di tiga kampung di sini, kecewa dengan tindakan sebuah syarikat membuang daging babi sejuk beku ke dalam Sungai Nenggiri, kelmarin.
Nelayan darat dari Kampung Star, Kampung Bertam dan Kampung Pasir Tumbuh mendakwa tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan mereka tidak boleh mencari ikan di sungai.
Ketua Jaringan Nelayan Darat Kampung Pasir Tumbuh, Kamarudin Mohd Noor, 55, berkata, dia kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu kerana memberi kesan kepada pendapatan mereka.
"Apabila kejadian ini berlaku dianggarkan hampir sebulan kami tidak dapat ke Sungai Neggiri dan mencari ikan dan saya percaya pelanggan juga tidak akan membeli hasil tangkapan kami kerana sudah ditularkan daging babi sejuk beku yang terbabit kemalangan 8 Jun lalu dibuang ke Sungai Nenggiri.
"Walaupun air sungai mengalir deras tetapi tidak mustahil ada ikan yang sudah makan daging itu. Jadi langkah selamat kami terpaksa menghentikan buat sementara waktu aktiviti menangkap ikan di kawasan ini.
"Kami juga mungkin terpaksa masuk lebih jauh ke pos Orang Asli untuk menangkap ikan iaitu di sungai dekat Pos Pasik yang memakan masa sehingga empat jam perjalanan," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lah, di sini.
Bagi Zulkifli Junuh, 52, dia sempat melihat daging babi terbabit petang kelmarin ketika mengangkat pukat di Sungai Nenggiri.
Katanya, terkejut dengan penemuan itu, dia terus naik ke darat dan memaklumkan kepada penduduk kampung.
"Ketika itu kira-kira jam 5.30 petang, saya turun ke Sungai Nenggiri untuk mengangkat pukat. Namun terkejut apabila melihat daging babi dibawa arus.
"Saya memaklumkan kepada penduduk kampung dan difahamkan kejadian pembuangan daging babi ke dalam sungai sudah tular di media sosial.
"Pada pendapat saya masih ada cara lain untuk melupuskan daging babi terbabit seperti menanamnya, tidak sepatutnya dibuang ke sungai yang juga menjadi sumber air kepada penduduk kampung," katanya.
Terdahulu media melaporkan lori yang membawa muatan hampir 50 ekor babi sejuk beku terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Kuala Tool di sini, 8 Jun lalu.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengakibatkan dinding sebelah kiri lori tercabut menyebabkan daging babi yang dibawa berserakan di jalan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan