Ketua Pegawai Strategi Sime Darby letak jawatan

Presenna Nambia
bhbiz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Strategi Kumpulan (GCSO) Sime Darby Bhd, Datuk Thomas Leong Yew Hong meletakkan jawatan dalam konglomerat itu selepas lapan tahun berkhidmat.

Susulan perletakan jawatan Yew Hong itu, Sime Darby dilaporkan ketika ini mencari pengganti yang sesuai dan sumber yang rapat dengan perkara itu menyatakan calon pengganti bukan daripada pengurusan dalaman.

Jurucakap Sime Darby pula mengesahkan perletakan jawatan Yew Hong dan proses pemilihan untuk penggantinya telah bermula.

"Pengurusan kanan kumpulan yang berpengalaman akan memastikan peralihan yang lancar dan kesinambungan operasi. Didorong oleh pelan induk strategi lima tahun kami, kumpulan kekal fokus untuk terus menyampaikan mandat kepada pihak berkepentingan dan pemegang saham," katanya dalam jawapan bertulis kepada Business Times.

Sime Darby Plantation yang kini dikenali sebagai SD Guthrie Bhd mengambil alih perniagaan perladangan, Sime Darby Property Bhd menguruskan perniagaan hartanah, manakala Sime Darby mengambil alih perniagaan mesin industri dan automotif.

Yew Hong dilaporkan akan menamatkan perkhidmatannya sebagai GCSO pada 30 Jun ini, lebih awal dari tarikh akhir kontraknya pada September ini selepas memegang jawatan itu sejak 1 Disember 2017.

Perletakan jawatan itu adalah bagi membolehkannya menyandang jawatan kepimpinan di sebuah lagi syarikat senaraian awam.

Bertanggungjawab ke atas strategi keseluruhan untuk Sime Darby, Yew Hong terbabit untuk pembangunan perniagaan, kewangan korporat dan perhubungan pelabur, serta fungsi komunikasi kumpulan selain menyelia usaha baharu kumpulan dalam sektor mobiliti.

Sime Darby telah menyaksikan berlaku beberapa pergerakan kepimpinan kanannya selepas pengambilalihan bernilai RM5.8 bilion ke atas UMW Holdings Bhd selesai.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Mustamir Mohamad, yang dilantik untuk memegang jawatan itu pada 2017, telah dipilih untuk mengetuai entiti yang baru diambil alih sebagai Pengarah Urusan Bahagian UMW.

Ini menyebabkan CFO bahagian permotoran, Muhammad Noor Abd Aziz berpindah ke ibu pejabat sebagai CFO kumpulan.

Sime Darby merekodkan hasil tahunan sebanyak RM48 bilion berakhir 30 Jun 2023 serta mempunyai kehadiran dalam 18 negara dan wilayah.

China dan Australasia adalah dua pasaran terbesarnya, membentuk 72 peratus daripada pendapatan kumpulan.

Pasukan kepimpinan eksekutifnya ketika ini adalah seramai 10 orang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson yang telah menerajui sejak 21 November 2017.

Dean Mehmet dari Australia pula mengetuai bahagian perindustrian kumpulan manakala seorang lagi warga Australia, Andrew Basham mengetuai bahagian permotoran serta Deny Rahardjo dari Indonesia pula sebagai Ketua Pegawai Maklumat dan Digital.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan