Lanjutkan pengajian ke Amerika tak balik-balik 35 tahun lalu

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
ABDUL Khalid dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu. FOTO Ihsan Rohani Deman
ABDUL Khalid dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu. FOTO Ihsan Rohani Deman
Kulai: "Abang long pulanglah, mak rindu. Kami tidak kisah apa yang berlaku sebelum ini (tidak pulang), mak dan adik-adik tak marah, malah arwah ayah juga tak marah. Sebelum mak tutup mata, harap dapat jumpa abang long," kata Jas Jabar.

Jas, 77, adalah ibu kepada Abdul Khalid Deman, 58, yang dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu tanpa khabar berita apabila tidak pulang ke negara selepas menamatkan pengajian di Universiti of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat.

Menurutnya, anak sulungnya itu melanjutkan pengajian di universiti berkenaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak.

Katanya, dia dan suami, Deman Mohamad yang meninggal dunia 21 tahun lalu juga tidak pernah menyalahkan Abdul Khalid kerana tidak pulang ke Malaysia selepas tamat belajar kerana baginya apa yang berlaku pasti mempunyai alasan dan mereka tidak boleh menghakiminya.

"Saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi memang sangat berharap dapat berjumpa kembali anak sulung yang dirindui.

"Kali terakhir kami berjumpa pada 1988 dan ketika itu, abang long ada beritahu dia akan pulang pada 1989.

"Abang long seorang anak yang baik, berhati lembut dan tidak banyak bercakap. Ketika kali terakhir berjumpa, dia seperti biasa, tiada berbeza, tetapi apa pun yang berlaku saya harap anak dapat pulang," katanya yang menetap di Felda Sungai Sibol di sini ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
ABDUL Khalid melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat selepas tamat SPM bermula 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak. FOTO Ihsan Rohani Deman
ABDUL Khalid melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat selepas tamat SPM bermula 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak. FOTO Ihsan Rohani Deman
Sementara itu, adik kedua Abdul Khalid, Rohani, 57, berkata, abang sulungnya itu bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Rakit, Kuala Terengganu dan penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke luar negara dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Seni Bina.

"Kami memang tidak berhubung dengan abang long ketika dia di luar negara kerana zaman dahulu tidak seperti ketika ini yang ada teknologi maju, tetapi dia pernah kirim surat sekali ke rumah ketika di awal pengajian dahulu.

"Abang long pergi ke luar negara ketika berusia 19 tahun dan dia pernah pulang pada 1986 dan 1988, jadi kali terakhir kami berjumpa pada 36 tahun lalu dan sudah lama kami tidak mendengar khabarnya.

"Kami memang rindukan abang long terutama mak yang berharap dapat bertemu dengannya," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga berharap memperoleh maklumat mengenai Abdul Khalid termasuk sama ada lelaki itu masih hidup atau tidak supaya misteri kehilangannya terungkai dan mengubat kerinduan keluarga.

"Kami buntu nak cari abang long, nak pergi ke Amerika Syarikat belanjanya besar dan kami tak tahu lokasinya.

"Kami ada buat pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan abang long didapati memang tidak pernah pulang ke negara (sejak kali terakhir dia pulang 36 tahun lalu).

"Pihak Mara juga ada membuat hebahan mengenai penuntut yang tidak dapat dikesan dan tak pulang termasuk abang long di televisyen.

"Biarpun abang long tak pulang, adik kami tetap membuat bayaran pinjaman pendidikannya dan sudah selesai pada tahun lalu," katanya.
JAS melihat album gambar anaknya yang tidak pulang ke rumah sejak 36 tahun lalu. FOTO Ihsan Rohani Deman
JAS melihat album gambar anaknya yang tidak pulang ke rumah sejak 36 tahun lalu. FOTO Ihsan Rohani Deman
Rohani berkata, sejak kisah pencarian Abdul Khalid mendapat perhatian di TikTok selepas dikongsi anak saudara, mereka dapat berhubung dengan beberapa rakan abangnya namun setakat ini belum ada khabar mengenai jejak lelaki itu.

"Kami tak tahu apa punca kehilangan abang long tetapi kami tidak mahu buat andaian.

"Kami sangat berharap dapat khabar berita abang long dan kembali bertemu dengannya jika dia masih ada di dunia ini. Itu doa kami setiap hari," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Abdul Khalid boleh menghubungi Rohani di talian 019-6862407.

-----

Pencarian 'abang long' di Amerika Syarikat belum berakhir

Kulai: "Alhamdulillah kami ada dapat maklum balas positif daripada kenalan abang long yang masih tinggal di sana (Amerika Syarikat) dan usaha mengesannya masih dilakukan," kata Rohani Deman.

Rohani, 57, berkata, selepas kisah ibu, Jas Jabar, 77, berharap bertemu abang sulung, Abdul Khalid, 58, yang hilang tanpa khabar sejak 36 tahun lalu dikongsikan di TikTok dan akhbar ini, pihaknya menerima beberapa maklumat berkaitan lelaki itu.

Menurutnya, ada kenalan abangnya memaklumkan pernah bertemu Abdul Khalid dan ketika itu lelaki berkenaan dikatakan memberitahu mahu ke New York membuka studio fotografi sebelum mereka terputus hubungan pada 1992.

"Alhamdulillah sejak kisah abang dikongsikan ramai juga kenalan abang menghubungi kami, malah ada juga orang awam yang mahu membantu usaha mengesan abang kami.

"Kami dapat beberapa maklumat berkaitan abang tetapi ia belum dapat disahkan namun sedikit maklumat itu pun sudah membuatkan kami bersyukur dan saya percaya suatu hari nanti semua akan terungkai," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, firasat hatinya percaya abang sulungnya itu masih ada cuma dia sendiri tiada jawapan mengapa lelaki itu menghilangkan diri tanpa khabar dan tidak pernah pulang ke Malaysia sejak tamat pengajian.

"Usaha kami mengesan abang long sehingga kini untuk mak yang sangat berharap dapat bertemunya sebelum menutup mata. Saya berterima kasih kepada rakan abang yang memberi maklumat sekurang-kurangnya ada juga info mengenainya.

"Saya percaya dengan izin Allah SWT suatu hari nanti kami sekeluarga akan bertemu tetapi jika sebaliknya kami reda," katanya.

Laporan muka depan Harian Metro hari ini melaporkan kisah Jas ibu yang menanti kepulangan anak sulung, Abdul Khalid yang juga bekas penuntut Universiti of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat.

Lelaki itu melanjutkan pengajian di universiti berkenaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan