Lelaki Maut dilanggar ketika bantu mangsa kemalangan

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
SEORANG pemuda maut dilanggar ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam. FOTO ihsan polis
SEORANG pemuda maut dilanggar ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam. FOTO ihsan polis
Kota Tinggi: Seorang pemuda maut dilanggar ketika sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan dalam kejadian di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam jam 5.20 petang.

Katanya, pada awalnya berlaku kemalangan membabitkan Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berumur 33 tahun yang dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

"Kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri. Apabila melihat kemalangan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa.

"Ketika mangsa berusia 35 tahun itu sedang membantu tiba-tiba datang Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun dari arah Sungai Rengit melanggar mangsa yang berada berhampiran dengan Perodua Axia itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

"Pemandu dan penumpang Triton turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di hospital sama.

"Manakala pemandu Perodua Axia yang mengalami cedera ringan dirawat di Hospital swasta di Pasir Gudang.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan