Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Keadaan kereta BMW selepas kemalangan mengorbankan semua pemandu dan penumpang di KM 123.6 Lebuhraya Plus, dekat Yong Peng malam tadi. Gambar Ihsan BOMBA
Batu Pahat: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan kereta jenis BMW dengan lori di Kilometer 123.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan meninggal dunia.
Mangsa seorang wanita warga Vietnam yang juga penumpang BMW meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) menjadikan semua mangsa dalam kenderaan itu maut.
Terdahulu, tiga daripada mereka termasuk pemandu kereta warga tempatan serta dua wanita warga Vietnam meninggal dunia di lokasi sejurus kemalangan berlaku sekitar jam 8.15 malam.
Namun, setakat ini identiti kesemua mangsa yang maut masih belum diperoleh.
Difahamkan, polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.23 malam.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh dikerah ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.
"Bomba tiba di lokasi pada 8.40 malam bersama sebuah jentera sebelum memulakan operasi menyelamat mangsa.
"Terdapat empat mangsa tersepit dalam kereta terbabit namun tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya lagi, pasukan keluaran operasi (PKO) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
"Operasi tamat sepenuhnya pada 9.59 malam dan mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan