Polis tahan lelaki ambil upah baling bom petrol

Bernama

MELAKA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti khianat dengan membaling bom petrol di Melaka dan Perak awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 9 pagi di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dari negara jiran.

“Tangkapan itu dibuat berikutan laporan polis oleh seorang wanita berusia 38 tahun di Masjid Tanah, Alor Gajah selepas kenderaan mangsa yang diparkir di hadapan rumah terbakar akibat dibaling bom petrol.

“Siasatan awal mendapati suspek bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang dari negara jiran sejak sebulan lepas dan dipercayai turut terlibat dengan satu aktiviti khianat di Sitiawan, Perak,” katanya dalam kenyataan.

Zainol berkata polis juga merampas sebuah kereta jenis Toyota Unser, telefon bimbit dan pakaian dalam tangkapan tersebut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan