Rakyat bosan dengan ‘warlord’ Umno

'Cungkil’ pemimpin muda lebih awal, rakyat bosan dengan ‘warlord’, kata Akmal
Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Pemuda Umno menyambut baik cadangan mengetengahkan generasi muda dalam usaha melakukan reformasi dalam parti itu agar kekal relevan.

Apa yang paling utama, kata ketuanya Dr Akmal Saleh, Umno perlu ‘mencungkil’ lebih awal pemimpin yang mampu berkhidmat dengan sepenuh jiwa raga sebelum diangkat menjadi calon PRU.

Rakyat sudah muak dengan golongan ‘panglima’ dalam Umno dan parti-parti lain di dalam negara ini, katanya.

“Saya lihat strategi menampilkan pimpinan muda yang boleh bekerja untuk rakyat (merupakan) suatu gaya politik baharu.

“Bukan nak jadi calon ketika pilihan raya sahaja tetapi juga bekerja untuk rakyat sebelum, semasa dan selepas PRU,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno Mustapha Yaakob yang mahu lebih ramai pelapis muda menerajui Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

Sebelum ini, Johari berkata, golongan muda perlu dikenal pasti daripada awal dan dibimbing oleh veteran berpengalaman, dan diturunkan ke lapangan agar rakyat mengenali mereka sebelum musim PRU.

Mustapha menyokong kenyataan Johari dengan berkata, Umno harus berani berubah walaupun sukar diterima oleh golongan ‘panglima’.

Dalam pada itu, Akmal berkata formula mengetengahkan calon beberapa hari sebelum penamaan calon PRU sudah tidak berkesan lagi, sebaliknya perlu dilakukan setahun atau dua tahun lebih awal.

“Jika rakyat mahukan pemimpin yang mampu duduk, dengar dan sentiasa memahami denyut nadi rakyat, jadi sudah tentu Umno kena ambil peluang ini.

“Perlu buktikan mereka sudah (insaf) dihukum rakyat, maka Umno hari ini perlu berubah ke arah apa yang rakyat mahukan,” katanya.

Akmal berkata, pemuda Umno juga sudah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi yang berminat menjadi calon PRU.

Hanya mereka yang mencapai KPI akan diangkat ke peringkat lebih tinggi dalam parti, katanya.

“Bukan (pilih yang) turun padang sebab nak menang pilihan raya (sahaja). Sukar untuk dicari tetapi tak mustahil.

“Pemimpin muda seperti ini yang akan disokong untuk jadi calon dan diketengahkan lebih awal,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan